Sesekali kita perlu menjadi Mat Jenin
punya angan dan impian tinggi
yang mampu dicapai tangan
asalkan usaha seiringan
bukan mengejar bayang
dalam mimpi kelam.
Siapakah kita tanpa angan dan impian
bermula angan timbul impian
impian menerbitkan keinginan
dari keinginan timbulnya cita
dan usaha digandakan jua
bukan hanya berteman leka
dalam mimpi-mimpi jera.
Semangat Mat Jenin maju ke depan
mencongak mengira menghitung
mencongak usaha dikembang sambung
satu persatu menjadi untung.
Mat Jenin menitipkan pesan:
Kejayaan perlu bermula dengan angan
dan dalam angan usah terleka
kerana leka membantut usaha
kerana leka mengundang bala.
Kepada siapakah Mat Jenin bercerita
tentang angan dan impiannya
dalam impian terlepas tangan
dari usaha yang di genggaman?]
MYA MARJA
Bandar Seri Jempol , NS
19 OGOS 2008.
No comments:
Post a Comment