Technorati search

4/21/08

Mari Mengundi


Mari ramai-ramai pakat mengundi,
Sabtu ini sudahlah pasti.

Jangan lupa kad pengenalan,
Awal-awal ke tempat pengundian.

Mengundilah ikut undang-undang,
Supaya aman pagi ke petang.

Semuanya ada calon pilihan.
Lambang parti pun dalam ingatan.

Berhati-hatilah memilih wakil,
Supaya anak cucu tidak musykil.

Lihatlah dan renung masa hadapan,
Tentunya aman negara, kita harapkan.

Buatlah pilihan, parti yang mampu,
Fikirkan kesejahteraan hidup bersepadu.

Banyaklah "fatwa" lama dan baru,
Musim pilihan banyaklah pujuk dan rayu.

Janganlah keliru dengan tohmahan,
Pastikan yang mana betul, bukan tuduhan.

Masa kempen, disebut kejahatan lawan,
Pengundi sendirilah waraskan fikiran.

Janganlah kita merosak negara,
Cerca mencerca menjadi punca.

Pandai-pandailah menangkis dakyah,
Pendirian tetap tidaklah goyah,

Kita bermodalkan insan berkualiti,
Negara maju gemilang bestari

Pengundi sendiri bijak teliti,
Tahu yang mana betul menabur janji.

Ada manifesto, janji kebajikan membela,
Pilih yang betul bukan angan-angan sahaja.

Lihat kemajuan yang ada sudah terbukti,
Parti manakah yang boleh berbakti.

Kita ingin negara melonjak maju,
Kita rakyat muafakat bantu memacu

Kita hendak kepercayaan pelabur,
Ekonomi maju negara subur hidup makmur.

Janganlah sesekali tersilap pilihan,
Satu undi kita tentukan keputusan.

Ingatlah, pilihan kita ini amat berharga,
Jangan menyesal, biar selamat jangan derita.

Ingatlah, jangan cuba bermain api,
Nanti terbakar negara sendiri.

Jangan diroboh tembok yang kukuh,
Senang pula nanti diceroboh musuh.

Jangan, menang sorak kampung tergadai,
Padahnya, cucu-cicit kita terkapai-kapai.

Jika tersalah pilih, musnahlah tergadai,
Kemajuan negara tercinta hancurlah berkecai.

Mari ramai-ramai, mengundilah kita,
Selamat, Aman, Makmur Malaysia tercinta.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.