Technorati search

4/8/08

Pesta Penyair Nusantara 2008 di Kediri



FORUM mesyuawarah penyair-penyair Nusantara di Pesta Penyair Nusantara di Medan, Indonesia pada 28 Mei tahun lalu.


PADA 26 Jun hingga 2 Julai ini akan berlangsung Pesta Penyair Nusantara 2008 Sempena The

2nd Kediri Jatim International Poetry Gathering.

Program tersebut akan menghimpunkan penyair-penyair dari seluruh pelosok Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand tersebut akan diadakan Kota Kediri, Jawa Timur, Indonesia.

Antara lokasi program tersebut ialah Padepokan Sastera Ki Ageng Mulang Sara, Taman Budaya Sumber Cakarwesi, Insumo Palace Hotel Kediri dan Dewan Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Kediri.

Pengisian utama pesta tersebut ialah Festival Baca Puisi Nusantara 2008, Seminar dan Dialog Sastra-Budaya Nusantara, Pameran Seni Tampak, Puisi dan Potret Penyair serta Musyawarah Penyair Nusantara.

Sesungguhnya, pesta tersebut mempunyai erti yang sangat penting kepada para penyair di rantau ini dalam usaha memartabatkan sastera berbahasa Melayu ketika arus globalisasi semakin rakus.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), SM Zakir mengesahkan para penyair Malaysia akan mengambil bahagian dalam pesta tersebut. Ia merupakan peluang kepada mereka untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan lain dari seluruh Nusantara.

Ini kerana sudah tiba masanya bagi penyair Malaysia khususnya mendekati dan mengadakan kerjasama erat dengan rakan-rakan mereka di negara yang berlainan.

Pesta Penyair Nusantara 2008 merupakan kali kedua diadakan selepas berlangsungnya Pesta Penyair Indonesia Sempena the 1st Medan International Poetry Gathering pada 25 hingga 28 Mei 2007.

Pesta yang pertama kali diadakan itu berjaya menghimpunkan penyair Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Mereka mempunyai objektif yang sama - memperjuangkan masa depan sastera dunia kreatif khususnya yang berbahasa Melayu.

Program yang dianjurkan oleh Laboratorium Sastera Medan tentunya menjadi awal gerakan kebudayaan dn kesusasteraan yang menggerakkan peta kepenyairan bukan hanya di negara itu tetapi juga di seluruh pelosok Nusantara.

“Pertemuan kali pertama di Medan pada dasarnya berjaya meletakkan batu asas kepada pembaharuan dan peningkatan kerjasama penulisan serta penerbitan para penyair serantau.

“Bukan itu sahaja, sajak-sajak yang terkumpul di dalam antologi bersama yang diterbitkan di Pesta Penyair Indonesia 2007 itu juga mengutarakan satu tekad untuk memperjuangkan masa depan bahasa dan kesusasteraan Melayu secara bersama,’’ katanya.

Katanya, kedudukan itu sekali gus memberikan kesempatan yang luas bagi seluruh penyair dan penggiat sastera di Nusantara untuk berinteraksi dan mewujudkan komunikasi bagi memperkayakan idealisme kepengarangan mereka.

SM Zakir berkata, kesedaran untuk mewujudkan integrasi itu muncul apabila melihat, masyarakat sastera di rantau ini bergerak berdasarkan kumpulan masing-masing akibat sempadan geopolitik, perbezaan etnik, kebudayaan dan faktor geografi.

Pada dasarnya, telah wujud komunikasi dalam bidang kesusasteraan, bahasa Melayu dan penerbitan yang ditandai dengan penubuhan Majlis Bahasa Indonesia, Brunei Darussalam dan Malaysia (Mabbim), Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dan Forum Kerjasama Penerbitan (Forkep).

Namun, penubuhan persatuan-persatuan itu tidak terlalu menyentuh ke peringkat kesusasteraan secara akar umbi hingga matlamat mewujudkan kekuatan sastera serantau menjadi begitu lambat.

Para penyair di Nusantara sendiri tidak mempunyai komunikasi dalam erti kata yang sesungguhnya hingga menyebabkan sastera Nusantara tidak mendapat sokongan antara satu sama lain untuk bergerak lebih jauh.

Padahal fenomena tersebut sangat penting, kerana dinamika sastera di Nusantara memerlukan anjakan ketika negara-negara dunia lain gah dengan kejayaan penulis mereka meraih Anugerah Nobel dan sebagainya.

Sehubungan itu, di Pesta Penyair Indonesia di Medan tahun lalu itu, para penyair Nusantara mencapai kesepakatan kerjasama untuk mengeratkan hubungan tanpa mengira negara dan faktor geografi.

Resolusi utama yang disepakati oleh penyair-penyair serantau pada di Garuda Palace Hotel, Medan pada 28 Mei tahun lalu itu ialah menganjurkan Pesta Penyair Nusantara di Kediri, Jawa Timur pada Jun depan.

Objektif terpenting pesta yang kedua itu ialah untuk mengukuh dan penyempurnakan gerakan pemetaan kesusasteraan Nusantara khususnya dalam genre puisi berbahasa Melayu/Indonesia.

Selain itu, ia bertujuan komunikasi antara penyair Nusantara, membetuk komuniti dan menjadikan pesta itu sendiri sebagai wahana apresiasi penyair-penyair serantau.

Bagaimanapun Pesta Penyair Nusantara 2008 di Kediri itu nanti akan turut mempelawa penyertaan yang lebih besar. Ia akan melibatkan penyair-penyair Filipina, Kamboja, Vietnam dan juga Melayu Srilanka, Afrika Selatan, Surinam, Madagascar dan lain-lain.

Ia akan diselenggarakan oleh jawatankuasa adhoc yang dibentuk dalam forum Musyawarah Penyair Nusantara pada Sempena 28 Mei tahun lalu di Medan bertempat di Garuda Plaza Hotel Medan Sumut.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Idris Pasaribu, Antilan Purba, Afrion, Ahmadun Yosi Herfanda, Viddy AD Daery dan Sarah Serena (Indonesia), SM Zakir (Malaysia) dan Zeffri Ariff (Brunei Darussalam).

Sebuah jawatankuasa penasihat juga ditubuhkan yang kaan bertanggungjawab sepenuhnya menasihat dan meluluskan pesta tersebut. Ia terdiri daripada Ketua Pengarah Bahagian Nilai Budaya, Seni dan Filem, Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Dr. Mukhlis Pa’eni dan penulis Korrie Layun Rampan, Fakhrunnas MA Jabar dan Diennullah Rayes.

Dalam pada itu, SM Zakir berkata, pesta penyair tersebut akan menjadi kesempatan terbesar kepada penyair-penyair negara ini untuk mewujudkan komunikasi yang lebih berkesan dengan rakan-rakan mereka di seluruh Nusantara.

“Melalui pertemuan seperti itu, kita dapat melihat sejauh mana kekuatan dan kelemahan karya-karya kita supaya sastera Malaysia terus mempertingkatkan kualitinya sebagai sebahagian daripada sastera dunia,’’ ujarnya.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.