Technorati search

12/6/09

PUISI AIDILADHA 1430



Saat lelaki itu tersungkur di kaki Aidiladha
Qurannya terserak berhelaian
dia menyambutnya dengan arak, brandi
di hotel-hotel dengan rezeki yang diberi Ilahi.

Alangkah hinanya manusia, kata Aidiladha
diberi akal, dibanting ke dinding
dibekalkan Quran juga hadis, yang dibaca,
saham cuma.


Saham-saham itu berangka
angka itulah dibawanya ke Eropah
Aidiladha mahu diangkutnya ke seberang laut.

Lelaki dan wanita itu bermuka
tapi hilang mata, berhidung tapi tiada lubang
nafasnya sesak sesudah sesaat terjadi
menggelepar disembelih, jasad berputar puas
di bumi berpasir dosa
mereka tidak pantas bersyukur.

Hadirnya Aidiladha sesudah jam 12.00 malam
dibawanya rahmat Jumaat, awal pagi itu
siapa antara kita solat Tahajud,
berzikir bertasbih
menemani rahmat yang luasnya selangit
yang hebatnya bergunungan?
oh, ada ibu bapa,
tidak mengajari semua anaknya
ada ustaz ustazah, buta pula mata hatinya
ada ulama, sibuk bangat.

Ingat, diri ini mahu menatang 1Malaysia
jadi mulia, jadi murni andai jujur hati manusia
jua bijaksana,
lempar kesemua fitnah ke dinding api
ke muara sungai dan benam ke dasar
Lubuk Pemanggil
nah, hamparkan sejadah ibadah
pakaikan baju manusiawi Islami
kita solat hingga penuh peti hati
dengan nur Ilahi, nur Ilahi.

DAENG RAMLIAKIL
Kuantan

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.