Technorati search

12/27/08

DEMI KELAHIRAN ZURIAT CINTA

RAHMAN YANG ESA;
(Syukur Sempena Pernikahan Putera dan Puteri Kami)


I
Ya Rahman; Maha kasih-Mu melimpah tanpa tepi
Sidi menjadi janji suci hamba yang segera ditepati,
Imbasan bulan tersenyum di langit tanah suci
Sempena muzium wuquf dua hari lagi....
dan "Hari Nahar" kah yang menyimpan ribuan erti,
syukur seorang Adam yang dipertemukan kembali
sesetia jiwa Hawa; Jabal al-Rahmah menjadi saksi
riwayat cinta yang tercipta di muka bumi
zuriat dari syurga yang mengisi alam sampai kini.

II
Pada-Mu Rabbi; Hamparan selaut syukurku terbuka
menerima limpah nikmat, hikmah penuh reda....
Kelahiran zuriat cinta
ikatan kasih mesra
harmoni meniti bahagia
anugerah Yang Maha Esa
berkat restu dan doa.
Sah; Putera dan puteri kami diterima menerima
ketentuan jodoh pasangan hidup berumah tangga.

III
Janji takdir adalah ketentuan-Nya jua....
Rahsia; Bagai gelita sebelum datangnya cahaya,
demikian 7 Zulhijjah; Aku nikahkan puteri kedua
Ju Artisa binti Ibrahim dengan Mohd Raufie Osha.
Kurajut nyali munajat merafakkan kudus doa....
Mohon apalah kiranya dilimpahi sakti bahagia
putera-puteri kami dan seluruh zuriat cintanya.

IV
Daripada-Nya kita semua datang....
Dan nanti kepada-Nya kita akan pulang,
satu dari yang Satu kemudian berbilang-bilang
jangan nanti kita tersesat di dalam terang
mencari diri yang melupai erti kasih sayang.

V
Sesuci riwayat cinta yang tersurat....
Bagai kasihnya para rasul kepada umat
hamparan kasih sayang yang berkat
Ya Fattah; Bukakanlah rahsia segala pintu nikmat
cucurilah limpah rahmat-Mu dunia akhirat.

Amin....

IBRAHIM GHAFFAR
Dideklamasikan Malam Puisi KL (KALAM)
DBP 19 Dis.2008@21 Zulhijjah 1429H.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.