Technorati search

5/4/08

NASIB BURUNG PUTIH

Kasihan si burung putih itu
yang selalunya tenang
bermain dengan angin bersih,
siang atau malam baginya
tiada waktu yang tersisih.

Sayang sayapnya yang berkilauan
jernih itu
akhirnya bertaburan
di lurah-lurah berkerutu
setelah angin bersih
yang sering menemaninya
tiba-tiba termati arah.

Bergelumanglah jasad
si burung putih
dengan lendir-lendir nanah
yang sekian lama
terhambur dan tercurah
dari rahang-rahang celupar
yang menyeringai
dengan lidah
yang sentiasa menjelir lapar.

Biarlah masih ada
burung putih sejujur itu
sekalipun bersedia
untuk terkujur dan berkubur
demi tikaman herdik dan keji
yang bertabur
dan yang pasti
hasrat luhurnya tak tersasar
demi membakar
hayat rahang-rahang celupar
dengan nafsu yang onar
sehingga yang terleka
akan tersedar.

Kerana burung putih itu nanti
akan dianugerahkan
sayap tembaga
yang bisa baginya meneroka
dan menerjah ruang-ruang
khabar yang setia
bila di dadanya penuh dengan
bahasa-bahasa cinta
yang berani
atas nama kebenaran
dan akan selamanya
dikenang dan terjulang
kerana ia tahu
di sana sedia menanti
termaktub dengan
janji-janji yang pasti.

MAZEMIE MAZ
Taman Selasih, Sikamat

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.