Technorati search

4/8/08

YANG KAMI PERLUKAN IALAH

Yang kami perlukan ialah
segedung naskhah perjanjian
isinya memuatkan
keadilan-ketenteraman-kasih sayang
perut kenyang, dahaga hilang
biaya rawatan dimansuhkan
pembebasan daripada kebodohan.

Agar terlepas daripada belenggu kemiskinan
dan tidak perlu hidup bergantungan.

Binalah pembangunan
tapi bukan pencakar langit
yang mencalar hati terhimpit
mencakar impian
mencederakan perasaan
hanguslah harapan
ratapan pun direntungkan.

Tanamlah pengertian kemanusiaan
suburkan benih makna manusiawi
kerana kepimpinan itu dinilai
melalui berapa banyak manusia
yang dibentuk akhlaknya
dan dia mendoakan kepimpinan
agar selalu adil dalam pengagihan.

Tidak perlu segala suhuf palsu
berjela makna ungkapan beribu
tentang segudang harapan tinggi
kerana yang ditabur akan berkubur
lafaz - ucapan - akad dari industri janji
adalah kilang ucapan perniagaan jualbeli
produk diungkap untuk dimungkiri sekali lagi.

H FANSURI
Sekolah Pemikiran Jalan Pahang Barat

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.