Technorati search

4/8/08

GAZA OH GAZA


(Surat terbuka kepada sang algojo)


Ketika anak-anakmu lena dengan nyaman
ketika kau pun tidur dengan aman
tidakkah terfikir di benakmu
ada anak-anak yang tidurnya terganggu
oleh bising jet yang laju
dan desingan peluru berpandu
tanpa belai kasih pujuk ayah ibu
siang malamnya diburu
oleh maut yang menunggu.

Ketika anak-anakmu dienakkan dengan makanan
dan kau pun tersandar penuh kekenyangan
tidakkah terlintas di fikiran
ada anak-anak yang perutnya kekosongan
yang hanya diisi dan dikecutkan
oleh bedilan dentuman tembakan.

Ketika anak-anakmu bermain menjerit keriangan
dan kau melihatnya penuh kesenangan
tidakkah terbetik di hatimu
ada anak-anak yang menjerit pilu
menjadi piatu mencari ayah ibu
kesakitan dilukai oleh bisanya peluru.

Dan ketika kautersenyum megah memenangi peperangan
sedang mayat-mayat bertaburan dan bangunan berkecaian
bagaimana kalau yang bergelimpangan itu
adalah anak-anak isterimu
bagaimana kalau yang keruntuhan itu
adalah rumah tempat tinggalmu.

Tapi kerana yang hancur musnah itu
bukan milikmu
maka tidak kau rasai
lalu berdiam diri dan tidak peduli.

Berfikirlah dengan waras akalmu
bukan dengan buasnya nafsu
hentikan permainan gila itu
kembalilah ke akal bijakmu
berikan mereka semula
kehidupan sediakala
wajah yang berseri
udara yang wangi
hidup sama dikongsi
dalam damai harmoni.

EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.