Technorati search

12/11/07

SELEPAS SUBUH

Langit jernih selepas Subuh, aku terhampar di bawahmu
aku mahu minum titisan air matamu yang gugur melalui
kolam matamu yang indah laksana danau disepuh perak.

Aku begitu malu kepadamu, jika kau bisa menangis di pagi
hari, sedang aku hanya diam dengan keangkuhan diri
dan sombong dengan sapaan nafsu yang datang berbisik.

Selepas Subuh aku mencari bintang di hujung jari langit
yang tetap berkata-kata tentang kebesaran Tuhan, tetapi
mengapa aku begitu pekak untuk merakam tasbih alam.

Aku juga menjadi begitu malu kepadamu para bintang
tetap setia berenang di lautan angkasa walau tanpa tangan
sedang kedua tanganku begitu lesu tatkala mengangkat Takbir.

Selepas Subuh aku mencari jari-jari langit yang menjamah
sejadahku, sedang aku duduk dalam bisu melihat warna
jernih berladung di depan pintu rumah menyampaikan salam.

Aku tidak mahu melepaskan suara Subuh itu pergi tanpa
meninggalkan beberapa helai wasiat kepadaku untuk nanti
kutatap menjelang Zohor dan beristighfar semampuku.

DARMA MOHAMMAD
Pasir Mas, 2007

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.