Technorati search

12/30/07

GURINDAM MENGIDAM KUASA



Kalau benar mengidam kuasa
hendaklah wajar tingkah dan cara.

Kalau kuasa hendak digenggam
kebaikan orang jangan dihentam.


Kalau kuasa hati berkenan
jasa orang dinafi jangan.

Kalau kuasa hendak diraih
amalkan budaya berterima kasih.

Impian berkuasa lekat di hati
hapuskan segala hasad dan dengki.

Kalau kuasa pilihan yang syumul
ikutlah cara yang paling betul.

Kalau kuasa mahu diburu
hindari prasangka jauhi cemburu.

Kalau kuasa impian utama
belajarlah sentiasa hidup bersama.

Kalau kuasa ingin dirampas
jangan berasa hendak menindas.

Kalau kuasa mahu diperjuang
baiklah sentiasa menolong orang.

Kalau kuasa dimahukan sungguh
buangkan sombong lemparkan ego.

Kehebatan kuasa ingin dilakar
aib orang jangan diselongkar.

Keinginan berkuasa sekiranya hadir
jangan suka mempersenda menyindir.

Kalau kuasa menjadi keutamaan
tingkatkan takwa kukuhkan iman.

Kalau kuasa diimpi dicita
jauhi matlamat menghalalkan cara.

MOHD KASIM MAHMUD
PPJ Kota Tinggi.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.