Dengan kepayahan kujejaki
butiran pasir perjuangan silammu
terasa getaran debar pulau dadaku
bahawa aku tidak sanggup
menghitung butiran pasir itu.
Setelah menyelami lautan budimu
di dalam genggaman puncak kasih
rajutan memori kian terukir
bahawa ranjau duri pengorbanan
telah melahirkan taman
kemakmuran dan kedamaian.
Berpacu dengan waktu
namamu tetap bersemadi
dan aku tersungkur
melihat ranumnya bola kesedaran
yang mengetuk jendela hati
tentang hakikat hidup
bahawa gerak tari getir dan peritmu
telah mewariskan tangga
kegemilangan.
Di kala senja melabuh jubahnya
masih adakah sambungan
untaian jambangan tali juang ini?
Kau kristal permata pejal
kupetik pesanmu
dalam kepayahan kudrat
obor merah semangat
tak Melayu hilang di bumi
harus terus berkobar!
MAHARANI N SENTANI
Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment