Technorati search

4/5/09

TEMASYA BUIH-BUIH GHAYAN

(Di Lautan Cemar, Meletuskan Kapal Api, Menumpahkan Temasya Buih-buih Ghayan Ke Pulau Peranginan)

Selamat datang tumpahan ghayan
silakan menginap di istana mulia ini - pulau peranginan ini sedang mabuk
dengan prospektus saham, tender, korporat, pesta kerajat
serikan kehadiranmu dengan mengopek nanar
kami dalam temasya semarak nafsu.

Kami tidak peduli bencana apa lagi
bakal berlambak
akan kami petik kuntum-kuntuman
riba dari perut puteri comel
kami akan hisap nanar pesta dalam mimpi dan realiti
demi budaya kami
(selepas ini kami akan berpesta di musolla).

Selamatlah datangmu wahai tumpahan buih-buih ghayan
merebaklah engkau sebagai wabak paling ngeri
itu bukan urusan kami
segala fatwa lebih afdal
dirujuk kepada sang Muslim orientalis.

Kami sendiri pun tidak kenal para anbia
yang masih diperkenankan doanya
kami tiada masa meratap
kecelakaan besar di bumi hayat ini
biarkan tumpahan ghayan tambah meruap
ditelan kabus pijar
garis lintang khatulistiwa
selepas temasya ini - semoga akan
disaksikan lagi
pelbagai kapal api berpecah
di tengah-tengah lautan darah.

ZAILIANI TASLIM
Ajil, Hulu Terengganu

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.