Technorati search

4/5/09

MENENTANG SETERU


Di sebuah dewan yang gagah
bersidanglah mereka membuat keputusan
hentikan pengeboman, hentikan tembakan
kami sedang merangka pelan perdamaian
tunggulah undang-undang tentang gencatan
akan kami wartakan tanpa menunggu lagi
simpati melihat seorang lagi terkujur mati.

Dan dunia pun berarak
mengusung patung-patung
membentang kain rentang
kami benci peperangan
kami benci permusuhan
kami benci persengketaan
kita bakar bendera paksi kejahatan!

"Tidakkah kaudengar suara-suara protes
hampir di seluruh pelosok dunia
meminta kita berundur?"


"Ya, aku terdengar suara dunia
tetapi suara tangisan dan raungan itu
lebih mengujakan aku!"

Maka berduyunlah lagi siri
mengoyakkan lembar resolusi
di bumi berdarah itu
tiada siapa lagi yang mampu
kerana sejarah telah mengajari kita
tentang makna bersatu dan berpadu
untuk menentang mungkar seteru!

AZHAR SALLEH
PPJ Johor Bahru

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.