Technorati search

3/14/09

CERIA YEE WEN 3

Meniti awan-gemawan kehidupan
dia tercari-cari cara melihat rupa hati manusia
di luar, tak kelihatan cahaya
berjuta memperdaya agama dan iman
kerana membeli dunia, membeli manusia
dan dia keliru lagi berhari-hari.

Siang dan malam dipanjati hingga puncak
di tiang hari, dia diganggang sayang
dan di panggung malam, terbiar terlantar
terawang-awang di angkasa hitam
kesunyian.

Diriku yang hadir siang
selalu pula tak dikenalinya dan kubiarkan
suaranya mempersenda
diriku tetap diriku tak kurang apa pun
menjauh, dia dilontari ke alam
penuh kesepian
hingga marahnya bertanda mahu menguasai
diri jadi berteka-teki.

Kusoal bayu yang berpuput
kutanya udara yang disedut paru-parunya
dia kulihat kehilangan kemanisan
kemanusiaan
terawang-awang menimbang
laluan halimunan
untuk menyeberang ke pulau keagamaan
di matanya, selebriti tv berbaris panjang
satu, satu ke muka menjual al-Quran
dengan lidah dua.

Tiap kali soalanku merangkak ke telinga bayu
air matanya tumpah, melihatku yang melihat
objek itu
dan udara yang meresapi berbisik
ke telingaku
dia kesengsaraan diganggang api dunia
dia derita dipanasi kata-kata keluarga
lalu diriku merangkuli sejambak cahaya
menanti di penghujung dunia.

DAENG RAMLIAKIL
14 Disember 2008.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.