Technorati search

11/1/08

WARKAH TERAKHIR UNTUK KEKASIH


(Selamat Tinggal Russia)


Kekasihku
lewat berlabuh tirai senja
merah menutup jendela Moskva
pada musim panas remaja
cinta yang berbunga
daisi mewangi
kuning dandelion
selepas mekar tulip
dan harum lilac.

Cinta kita adalah transit
pengembaraan ke negeri abadi
yang mengajar erti manusiawi
pencarian cinta hakiki
di terminal dunia
sebuah kehidupan.

Gugur daun ke genggaman
menanti tibanya musim sejuk
selalu kau disampingku
hangat dipelukmu erat
menenangkan gigil hati sepi
deras angin tanah nurani.

Dan musim berganti
kecilku meniti usia dewasa
kau masih anak gadis rupawan
ingin dihiasi perhiasan kemodenan
sedang aku setia pada keaslian
kubah St Basil pelbagai warna
menghiasi dadamu, Dataran Merah
di Kremlin bersejarah.

Kekasihku
tiba sudah masa
untukku meneruskan kembara
akan kurindu detik waktu itu
terakhir bercumbu pada malam putih
keakraban yang memaut kasih
bersaksi Hermitage dan Peterhof, di St Petersburg.

KHAIRIL IDHAM ISMAIL
Julai 20, 2008
Shremetyevo 2 Airport

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.