Technorati search

11/1/08

TIKAR BARU

Tikar baru
yang akan mengganti lantai sejarah
apakah dari keras mengkuang atau lembut pandan
atau papan buruk yang tak berubah kuapnya.

Angin yang bebas
apakah sebebas angin semula jadi sejak kejadiannya
atau masih tergincu oleh taufan lama
yang sudah kehilangan tenaga
lalu menjadi pencorak musim baru
yang menghakis tanah dan hutan
atau akan lampang dihayun pisau diri
dengan ketakutan menegakkan hak dan jatidiri
sekali lagi sebagaimana tersaksi
pada musim sebelum ini.

Tikar baru
yang akan mengganti lantai sejarah
telah ditunjukkan oleh cuaca dan panas matahari
bahawa ketakutan pada badai puaka
yang kian mengasak pantai cinta
masihkah dibiar akan meruntun hati dan jiwa
yang tersayat ke debu musim tak pernah setia
pada keindahan setiakawan yang dipercayai
atau akan terus meranap benua cinta ini
menjadi musuh bumi setua musim
yang semakin menerpa kita
dalam tempo nampak seperti tak sengaja.

Tikar baru
jika dibuat daripada rotan rimba
atau akar kayu jati tua
ada harapan untuk bertahan pada kukuh yang lama
tapi seandainya dari jerami si pandan muda
alamat akan reput dek hujan air mata.

Tikar baru
dianyam jangan si orang tua
yang kelabu dan gila harta
meski bernujum asam garam pengalaman
untuk melonjakkan benih keturunan
ke persada kebanggaan.

Tikar baru
yang paling tahan
dianyam sendiri dengan tangan
jangan sekali menghisab sifir petualang
yang pernah meruntuh rumah tradisi nenek moyang
dan meninggalkannya mencari bayangan
demi membina istana kayangan.

Tikar baru
mesti disulam dengan rindu
dalam dupa warisan baru
dan kekal seindah restu
dengan jiwa raga bangsa baru.

ARBAK OTHMAN
UPM, Serdang.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.