Technorati search

8/23/08

KEKASIH DALAM MERDEKA (3)

Telah kulestarikan taman kemesraan
setiap hujung Ogos yang jernih
dalam makrifat temujanji tersendiri
seberkas akrab dan mempesonakan
mengalir di sungai kecintaan.

Telah kulukiskan monumen diri
kerinduan ini yang tidak tertanggung
lantaran darah kesatria mengalir itu
teramat manis dan kondusif
aromanya menusuk ke jantung sedar
dalam intuisi diri tidak pernah pudar.

Kekasih
himpunlah sebuah meditasi rindu
dengan hamparan baldu realiti
bahawa perjuangan mereka
adalah kasih kita dua benua
terangkat dendam cinta Laila Majnun
jerih perit seakan menyanggah takdir
di hujung pasrah.

Kekasih
binalah rumah pusaka bangsa ini
dengan jambak kuntum
pemodenan
hiasilah ruang padang kehidupan
dengan harum wangian keikhlasan
dan siapkan laman kebahagiaan
untuk kita tiduri malam abadi!

D J DOLASOH
Vila Usrati Jannati,
Batu 19, Badak, Bachok

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.