Technorati search

1/5/08

Sifat-sifat pantun terbaik.


Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.

Pada kebiasaannya baris pertama merupakan pembayang diikuti pula dengan maksud pantun. Kaitan antara pembayang dan maksud terdiri daripada beberapa peringkat iaitu :-

1. Dari segi ibarat.

Tak tumbuh tak melata,
tak sungguh orang tak kata.
Pembayang diatas mengkaiskan bahawa apabila sepohon tumbuh, barulah ia boleh menjalar. Begitu juga sekiranya sesuatu perkataan itu tidak benar, pastilah orang tidak akan memperkatakannya.

2. Dari segi bunyi.

Ahir pembayang di atas mempunyai rangkaian bunyi yang sama iaitu tumbuh / sungguh dan melata / kata. Akhiran ini pula akan berselang-selang antara pembayang dan maksud. Oleh itu pantun enam kerat akan mempunyai akhiran seperti dibawah :-

Pembayang pertama akhirannya sama dengan maksud pertama iaitu ayat ke 4 .ang
Pembayang kedua akhirannya sama dengan maksud kedua iaitu ayat ke 5 .......... dak
Pembayang ketiga akhirannya sama dengan maksud ketiga iaitu ayat ke 6 ............. ang(2)
Maksud pertama akhirannya menyerupai pembayang pertama .........................ang
Maksud kedua akhirannya menyerupai pembayang kedua ................................... dak
Maksud ketiga akhirannya menyerupai pembayang ketiga ......................................ang (2)
Apa diharap padi sebendang
Entahkan jadi entahkan tidak
Entah dimakan pipit melayang
Apa diharap kasihnya orang
Entahkan jadi entahkan tidak
Entah menjadi milik orang
3. Dari segi irama.

Selain dari bunyi akhiran, pantun mestilah berirama agar indah didengar dan dibunyikan. Sekiranya sesuatu pantun itu tidak berirama maka cacatlah pantun itu dan tidak sempurnalah ia. Untuk membentuk irama yang sempurna setiap baris seeloknya mempunyai lapan suku kata dan tidak melebihi dua belas sukukata. Ini adalah agar pantun itu membentuk irama yang sedap didengar.

4. Pembayang dan maksud perlu lancar dan berkaitan antara ayat-ayatnya.

Pembayang dan maksud pantun perlulah mempunyai kaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang berikutnya agar pembaca tidak terkeliru dan kehilangan arah. Sebagai contoh, sekiranya pembayang pertama mengenai tumbuhan, pembayang kedua tidak boleh membincangkan perkara baru melainkan ia berkait dengan pembayang pertama. Ini juga merangkupi pantun berkait. Sebagai contoh pembayang pantun dibawah tidak mempunyai kaitan antara pembayang pertama dengan pembayang kedua. Oleh itu ia tidak sesuai digunakan kecuali sebagai pantun seloka.

Huruf A, B, dan C
Jambu atas batu
Kenapa tidak kasi
Sombong macam hantu
5. Perkataan berlainan digunakan antara pembayang dan maksud.
Perkataan yang digunakan antara pembayang dan maksud sebaik-baiknya mempunyai perkataan yang berlainan dan tidak mengandungi perkataan yang berulang. Perkataan yang berulang akan melemahkan pantun itu. Seelok-eloknya perkataan itu mesti menggunakan perkataan yang berbunyi serupa tetapi tidak berulang.
Pantun yang baik.
(Takdir)

Anak buaya terenang-renang
Anak kunci dalam perahu
Hanya saya terkenang-kenang
Orang benci saya tak tahu

Pantun yang berulang pembayang dan maksudnya.

Dua tiga kucing berlari
Manakan sama si kucing belang
Dua tiga hamba mencari
Manakan sama abang seorang.

Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa pantun yang terbaik mempunyai kaitan antara pembayang dan maksud melebihi dari sekadar akhir bunyi yang sama, tetapi haruslah mempunyai kiasan dan kaitan antara pembayang dan maksud yang tersurat itu.

Selain daripada kaitan antara pembayang dan maksud di atas, pantun yang baik juga perlu mempunyai ciri-ciri ayat yang padat dan tepat maksudnya. Disebabkan sifat pantun itu yang pendak dan terhad kepada dua rangkap sahaja, pembayang dan maksud pantun perlulah pendek dan membawa maksud yang tepat. Ini adalah benar terutama bagi pantun berkait kerana setiap pantun di dalam pantun berkait perlu boleh berdiri secara sendirian agar dapat difahami oleh pembaca sebelum pembaca sampai kepada pantun yang berikutnya. Sekiranya pembayang dan maksud pantun tersebut tergantung, pembaca mungkin akan kehilangan minat untuk meneruskan pembacaan mereka. Setiap pembayang dan maksud pantum harusnya memberi erti yang dapat difahami oleh pembaca walaupun ayatnya pendek.

Walaupun begitu tidaklah bermakna pantun yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas merupakan pantun yang cacat. Tetapi bolehlah dikatakan bahawa pantun yang dapat memenuhi kebanyakan syarat di atas akan membentuk pantun yang menarik dan diterima ramai. Akan tetapi janganlah kita mengatakan sesuatu pantun itu cacat hanya kerana ia tidak sempurna dan berlainan dari yang diketahui kerana pantun itu adalah untuk bersukaria. Sekiranya kita terlalu berkeras dengan syarat-syarat yang ketat maka dibimbangi akan menyebabkan orang takut berpantun dan tinggallah pantun sebagai seni terpinggir dengan hanya pantun-pantun yang lapuk diulang-ulang sehingga menjemukan didengari.

Sebagai akhir kata, dengarilah pantun yang dibawah ini :-

Buah cempedak dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Saya budak baru belajar
Salah dan silap harap maafkan

1 comment:

Mohammad Bin Othman said...

Tahniah. saya suka post ini very much. amat membantu

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.