Technorati search

12/11/07

CAMAR MASIH BERTERBANGAN



Saujana waktu masih berdiri
di antara laut dan pantai
membawa ombak dan ruang
bertindihan dalam kepasrahan
perjalanan tawakal yang memanjang
manis ke satu permulaan.

Masih segar seorang anak kecil
dalam diri memanggil-manggil
berlari dan berlari jauh
bangun dan terjatuh
mengejar ilusi kehidupan
seindah fatamorgana perasaan.


Masih suara-suara bersahutan
mewajah seribu kebimbangan
melebar imej-imej kedewasaan
nun pada musim-musim perantauan
camar yang terus berterbangan
melebar dunia tanpa sempadan.

Masih di sini, warna bayang-bayang
melontar malam dan siang
destinasi yang bersimpang siur
mengasak jiwa untuk bersyukur
hitam putih visual rentetan realiti
dari pasang surut gelombang emosi!

FUDZAIL
Kuala Rompin, Pahang
18 Ogos 2007

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.