Technorati search

3/28/09

KELAWAR BERTUKAR



Kawanan kelawar telah keluar
dari gua dendam
berlegar-legar dan hinggap di lembah Gaza
kemaruk darah merah kaum Palestin
yang dihisap penuh selera
dirangsang aroma kekejaman bangsa.

Kelawar tidak pernah memilih mangsa
warga tua yang tak terdaya
anak-anak yang ingin dimanja
atau lemah-lembut seorang wanita.

Di daerah Gaza yang terbakar
kelawar telah bertukar
menjadi drakula
hantu yang paling hina
di muka dunia.

Abizai
Miri, Sarawak.
Januari 2009.

MAAF DARI PALESTIN

Maafkan kami, Palestin
tika darahmu dipaksa mengalir
di bumi sendiri dan kering disejat mentari
tulangmu bersepai dibedil serakah Zionis
jerit pekikmu bergema di dada langit
hilai tawamu ditelan bom dan fosfur putih
jiwa kami sedang berpadu dengan nafsu
bercinta dengan dunia sambil beramal pohon
restu untuk bahagia nanti.

Maafkan kami, Palestin
andai pecah peti suaramu memanggil nama

Tuhan
putus salur darahmu berkorban demi Tuhan
kami juga sedang berperang
dengan nafsu yang lebih besar dari jihadmu,
Palestin.

Maafkan kami, Palestin
perang kita berbeza medan
kami sibuk berasak di sini
dikau digasak sana sini

Bila hanya doa mampu dihantar pengganti
kami; senjata

terkuat kita
hantarkan kembali doa buat kita berjaya sama
bersama maaf dari Palestin.

Zaki Johari.
Ube, Jepun.

TERIMA KASIH PEMBUNUH

Jangan kau risau
aku bukan seperti Muntazer
membaling
sepatu saiz sepuluh
untuk ucap selamat tinggal
hanya doaku kepada Ilahi agar sifat keji kau
nanti mampu dirawati
menjelang mati.

Sempena perpisahan ini
sebotol arak darah Iraq
sepiring daging anak Afghanistan
dan sepotong keju wanita Palestin
jamuan terakhir melihat usia.

Mari kutunjukkan
potret-potret manusia terjajah
membelah derita.

Terima kasih pembunuh
sempena perpisahan ini
aku manusia kerdil dari Nusantara
tidak akan membedil
kerana
menghitamkan lagi sejarah.

Justin Dingun Ugah
Saratok, Sarawak

APA YANG ADA PADANYA

Apa yang ada padanya
sebidang tanah
tandus dihujani peluru.

Apa yang ada padanya
titisan darah
yang mengalir di setiap penjuru.

Apa yang ada padanya
suara teriak
musnahkan kekejaman.

Apa yang ada padanya
sebutir batu di tangan
direjam ke arah musuh.

Mengapa dipersoal
apa yang ada padanya
mohon doa gempa
dan hujan mengganti mortar.

Menghapus kezaliman
pada ranjang kehidupan umat.

Mohamad Tabir Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru

HUJAN PELURU DI BUMIMU

Tiada satu pun daerah di bumimu
sunyi dengan dentuman mortar
menghujani dari langit hitam
melepaskan hujan peluru
tanpa mengenal mangsa
tanpa mengenal usia.

Tiada satu pun daerah di bumimu
tidak berbau hanyir darah
insan tidak berdosa direnyuk
ketamadunan ego sebuah bangsa
disokong kejahilan kuasa tidak bermata
mengambil nyawa bagai tangan berkuasa.

Tiada lagi suara rintihan bergema
melawan sergahan dan teriakan
dentuman hujan peluru berserakan
menceroboh kedaulatan bumimu
mencemar istilah kebebasan
dan kedamaian.

Tiada satu pun bumi sepertimu Palestin
dihujani hujan peluru bertalu-talu
dan, mana mungkin akan berhenti
selagi kuasa dan suara tenggelam
oleh keangkuhan sebuah bangsa.

Zabri Zanol Abidin
Anjung Sena, Kulit Hi-Tech

DANAU HIDUP

Waktu tersentuh bumimu
penjuru simpang, dua jalan
adalah tempat dalam
dunia yang satu
tapi berbeza gaya,
rupa dan terasing.

Di sini, telah datang sejuta wajah
wataknya di pentas tidak terduga
kecil bukan kerdil
besar pemegang gelar
lalu bersatu dalam danau hidup
pun belum tahu sama dalamnya
cuma kalau terpangkas darjat
menjauh, ada waktu
hampir dalam tersipu malu
danau dipenuhi kiambang,
selalu bertaut mesra
wasilah harus terjaga.

Saat menyelam setiap penjuru danau hidup
memakai gelar mencari nama besar
lincah, petah dan kantungnya penuh tenaga
yang kecil harus pantas dan berani
selalu layu dan letih
tidak mungkin bersatu kata,
dosa dan pahala.

Dalam bisik mesra manik hujan
yang kecil lapang dada
mengangkat martabat dan darjat
sedang keliling menyapa terpaksa
walau menjadi pasak tebing keras
walau menyubur enau di belantara sasa
mengejar dan dikejar
jadi ulam selagi hayat ada
kalau mungkin tersasar,
aur tercabut akar
tebing tersungkur ke dasar
dan semua dibawa arus ganas hipokrasi.

Ini medan juang, ramai sahabat dan kerabat
sendat dengan hajat

ini danau hidup berwarna kelabu,
bertebing mesra
damai, kekadang kontang juga
dua watak utama
beza pada wakafnya.

Baha Wahab
Kuala Terengganu

SIRNA KELAHIRANMU

Terpercik dari kejoraku di tengah lautan rahmat
sirnamu terpancut menikam jiwa-jiwa
alam terbentang menjadi saksi pasti
menyelinap wajah-wajah buram
cahayanya tumpah ke datar sepi
yang kosong dan tak berpenghuni.

Laut tenang dan tak berolak
seakan sirnamu melayar bahtera zaman
angin mati tiba-tiba seakan pelayaran terhenti
tak berhaluan
pohon tunduk dan terdiam lesu
seakan redup menyelubung alam
sirna kelahiranmu adalah rahmat melimpah
mengisi kontang doa mustajab para ambia.

Kita laungkan azan membelah benua
ratib dan selawat memunggah sirna
kelahiranmu adalah permulaan zaman
ya Rasulullah al-Amin segala jiwa
sirna kelahiranmu yang utuh dan waja.

EZANI DAUD
Kota Bharu

SETELAH AKALNYA DIKUDUNGKAN

Dia seorang teoritikus
yang bisa bermanis dalam bermadah
dan berdusta dalam menegah.

Dia pengagum kepada intelektual wajar
tetapi pemujuk yang melulu membidas waras
dan pemain retorik yang janggal.

Dia juga juragan dalam kapal revolusi

merentas lautan dangkal
tetapi bukan dengan tenaga radikal.

Kini, setelah akalnya dikudungkan
parang teorinya kian berkarat
dan dia pemuja intelektual di kebunan lalang.

MJ
Saratok, Sarawak

MEREKA SEBENARNYA TERLUPA

Mereka sebenarnya terlupa
bahasa Melayu itu ada penuturnya
152 pengukuh susur galurnya
tetapi mereka buat-buat lupa
apa yang kami ada, malah
sebuah keranda telah tersedia.

Sering mereka melupakan
wujudnya diasak kiri dan kanan
seakan kehilangan ketajaman
bila terlalu banyak ragam
dan aturan, bahasa Melayuku
dituturkan oleh si lidah berbelang.

Janganlah mereka terus terlupa
jika suatu ketika nanti
anak-anak muda payah berbahasa
andai semua mahu pantas ke pentas
globalisasi, ilmu dihadam terus
dari sumber aslinya dan sampai bila pun
kita tidak akan membangunkan
ketamadunan ilmunya.

Mereka sebenarnya terlupa
hilang bahasa hilanglah jiwa
tanpa bahasa maruah tiada
kewujudan kita hanya serpihan
semata, kitalah yang harus
mempertahankannya.

KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.

BUKAN MEDAN LAGA

Di sini berkumpulnya suara
di sini berkumpulnya harapan
dari lembah dan sungai
dari paya dan pinggiran
dari desa dan kota kemanusiaan.

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara
suara hati rakyat kebanyakan
suara hak dan pembelaan
suara terlaung jerit rintihan.
(Suara tertimbus kerana percakaran!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya harapan
harapan hati rakyat kebanyakan
harapan perjuangan dan pembangunan
harapan terlaung jerit rintihan.
(Harapan terkambus kerana perbalahan!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara dan harapan
kaubawa amanah rakyat kebanyakan
yang pernah kaujanji mahu tunaikan
dalam getir menjelang pengundian.
(Mungkinkah sudah engkau kotakan?)

Di sini satukanlah suara
dalam perjuangan
membela kebenaran
dalam debat melahir keputusan
biar bertingkah berbeza pendapat
hasrat nan satu mencapai matlamat.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol , NS.

MELAYUKU BERANI

i. Tak dinafikan
di ambang kemerdekaan
terakam sejarah tumbang Malayan Union
Melayuku berani lawan.

Di Baling menang rundingan
Chin Peng vs Tunku Abdul Rahman
komunis kecundang
Melayuku berani perang.

Rombongan ke London
tuntut kemerdekaan
diketuai Tunku Abdul Rahman
Melayuku berani berdepan.

ii. Setelah merdeka
Melayu hilang maruah nak cepat kaya
masuk parti siasah
10 peratus agihan diserah.

Tunai haji rukun kelima
sebut Labaiqallah Hummalabaiq
dari Jeddah hingga Arafah
sampai KLIA semua berubah
rezeki di kamar melempah ruah
syukurillah ... Alhamdulillah.

Saban tahun tunai umrah
kucup batu Hajarul Aswad
mohon keampunan di Safa dan Marwa
kaki berlari tangan menadah
berdoa: kurniakan lebih hasil rasuah
nasib: Tuhan takkan ubah
mengucap: syukur kepada Allah
Melayuku: sungguh amat bertuah.

ISMAS SARING
Pekarangan Masjid Nabawi
Madinah - Arab Saudi

SELEPAS HUJAN

Di hujung ranting kering
setitis harap berbaring.

Di pucuk daun kuning
setitik degap hening.

Di puncak gunung kontang
sejalur pelangi petang.

WB RENDRA
Citra Larkin Perdana, Johor Bahru.

PASAR SYURGA

Jual beli berbeza
tiada serupa
di dunia
tukar barang
nilai harga.

Semua barang
di syurga
dibeli ingin sahaja
ingat waktu dunia
dapat ganti semula
ada di pasar syurga.

JUSOH AHMAD
Darul Aman Utama, Kedah.

PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT



Letak ubi di atas akhbar
wahai YB apa khabar?

Orang Petani pergi ke JB
pantun ini untuk YB.


Sambil baring pandang awan
YB sering sibuk di dewan.

Ajak kawan naik rakit
kisah di dewan teruk sikit.

Datuk Penghulu beli senangin
mengapa selalu naik angin?

Sakit bahu tenyeh halia


B tahu dewan tu mulia.

Di celah tingkap cicak terbunuh
mengapa bersikap tidak senonoh?

Tuan doktor makan timun
cakap kotor maki hamun!

Anak China pergi ke Taiwan
sampai kena keluar dewan!

Tidak perlukah lobi-melobi?
Tidak malukah wahai YB?

Bakar jerami di Kampung Jabi
takkan kami nak nasihat YB?

Terubatkah sakit menonton TV?
Sedarlah sikit wahai YB!

ISMAIL RESTUKg. Bujang, Kedah.

PESAN TOK AYAH

Kalau tibatiba
semilir utara jadi ribut barat
berdayunglah ke tepi
berpaut di jangkar teguh kukuh
agar tak karam hanyut kolek pusaka.

SAMSUL A WAHAB
Kg. Tanjung Serindit

TEBARKANLAH AKSARAMU

Aku menyenangi aksaramu
putih dan hijau berkilat
menjadi daun musim luruh di negeri jauh.

Aku menyenangi aksaramu
duduk rapatrapat
bersamasama
para malaikat.

Kulihat aksaramu kecil dan besar
berdiri bahumembahu
sesekali bergerak perlahanlahan
ke kanan dan ke kiri
tabah menapak ke destinasi.

Kudengar aksaramu bergumam
berbaur geram dalam diam
di sisi kapal hampir karam.

Kini aksaramu berdiri
menyanyi menguliti hidup ini.

Tebarkan aksara budi mewangi di hadapanku
tebarkan aksara iman
semerbak dari denai ilhammu.

MOHD ISA ABD RAZAK
Seremban

TANAH BERDAULAT PANTANG DERHAKA

Lembaran sulung catatan tanah ini
terpalit tinta murka
setelah sekian lama terpendam
di dasar tepu hanyir teluk dan sungainya.

Tanah pahlawan ini
telah lama berdaulat
dengan perut bumi yang berkilau perak
menjadi sinar menyuluh hidup
menyubur muafakat anak cucu
berpayung di bawah suci mahkota
tidak pernah terbadai taat setianya.

Meluap darah damai
menimbang sabar tanah ini
waktu kau mengalun sumbang
sembah derhaka.

Apa lagi mahumu
kaumenuding tersalah arah
tangan dijerut bersilang punca
bila kau lelah tidak berdaya
halkum membengkak bernanah
bila kau diam tidak bersuara
yang menggapai hanya tangan longlai
dalam selut pekat bernoda
yang sayup hanya lolong kalut
di sebalik tabir pusaka tua
namun kau masih gagahi juga
berpaut kejap pada selusur reput
menanti perahu kertas penderhaka
tanpa pendayung setia
pasti perahu tersasar hala.

Seluruh isi bumi bertuah ini
teluk, tanah dan sungainya
menjunjung daulat, pantang derhaka
sekali terlanjur selamanya murka
termakan sumpah, sepanjang hayat tulahnya.

BAHA WAHAB
Kulai jaya, Johor.

MEREDAH BELUKAR KEDAMAIAN

Meredah belukar kedamaian
merentas onak-onak berduri
memintas permatang rawan
yang memisahkan antara dua darjat.

Seketika berjalan di ruang kosong
berlari di celahan tunggul-tunggul mati
merangkak mencari bukti serakah tanah
hilang pedoman timur dan barat.

Gugur butirbutir permata
dari langit yang ke tujuh
bertaburan di pelosok belukar
hingga lusuh disaluti selut
menanti tangantangan suci
merawat dosadosa
yang melekat.

Seluruh alam tahu
ini belukar keamanan
tetapi tiada siapa tahu di dalamnya
penuh kekalutan
penuh kesengsaraan
penuh rintihan
penuh kehinaan.

Itulah rahsia belukar kedamaian
yang sudah lupa asal usul
merekah menanti jerlus
leka dalam kemewahan
mungkin esok mungkin lusa
akan lupus dikambus petaka.

A HAMID HALIM
Bandar Baru Bangi

MENGHANTAR ANAK KE SEKOLAH

Kuhantar anak ke laman sekolah
dengan bekal jutaan citra
pergi menggalas buku
pulang menggendong ilmu
pergi bersama hati
balik membawa budi.

Biar putih baju beralih kelabu
ingatlah, betapa guru perlu dihormati
takkan sesat arah melangkah.

Rakan jangan sekali disakiti
kalau mandiri mahu dimanusiawi.

Sekolah, gedung intelek harus diteroka
bosan mencari menjemput sesal.

Biar luntur biru warna di seluar
jangan jemu menggigih diri
rumah jaya akan terbina di lereng cita
di anjungnya dapat kaurenung
nilai duri yang menggores kala mendaki
menghirup erti pengorbanan lalu.

Ketika anak kuhantar ke sekolah
harap kau kenal tulen dan palsu
memilih telekung atau gincu
perhalus akal menajam renung
makna rakan maksud sahabat erti taulan.

Mengikat yakin pada hati
syurga tetap di telapak kaki ibu
aku, hanya ayah pemikul amanah
keringat di dahiku tak perlu kauseka.

MOHD. HASHIM OSMAN,
SMK (F) Besout, Sungkai.

WANITA HARI INI

Wanita ini telah berubah
kosmetik buatan sendiri
telah melenyapkan kerut di wajah
pakaiannya termahal
bukan luka mewarnai diri
hanyir darah dan bau keringat
bertukar parfum di kilang sendiri.

Wanita ini tidak lagi menyusur sengsara
selamat tinggal si air mata
impiannya telah tercapai
walau cangkir cinta terbiar relai.

Wanita ini telah menguasai alam
sarapan di kaki langit
tengah hari di puncak dunia
malamnya entah di mana
tegap kaki mencengkam bumi
bulan dan bintang dalam genggaman
itu tidak memungkinkannya
mengetuk tingkap
tetapi sabar menanti di pintu
cintanya mekar di kalbu.

CHE SOO ISMAIL
Alor Setar 90-09.

SEKEPING KERTAS ITU

Yang ditandai di sekeping kertas itu
adalah masa depan kami
dengan sabar memerhati
gerak-geri dan teorimu yang
sering tak menjadi.

Kita sudah terlalu letih
menghimpunkan sengketa dalam
untaian aksara berbisa yang tidak
ke mana.

Emosi telah sejat
dunia semakin tenat
menanti sebuah perkhabaran baru
yang tergenggam di hujung penamu.

KAMAL SUJAK
SHDL, MMU Cyberjaya.

YANG TERPILIH



Sebulat suara memilih
peneraju cita-cita rakyat
dalam harap penuh semangat
yang terpilih adalah terbaik
mampu menggapai impian
membentuk wawasan harapan.

Wahai pemimpin yang terpilih
selamat berjuang!
dengan semangat kental
membina negara tercint
mendaulat bangsa terunggul
terbilang di mata dunia.


NURIN HANIS
Seri Rawa, Kedah.

3/14/09

152: BAHASA DAN BANGSA

Bahasa dan bangsa
semestinya bersatu
dalam jiwa bangsa.

Bahasa dan bangsa
cintanya harus utuh
kasihnya harus teguh
sayangnya harus kukuh.

Sucinya cinta bahasa
murninya kasih bahasa
luhurnya sayang bahasa
seabadinya setia.

Bangsa sering curang
cintanya berkurang
kasihnya terlarang
sayangnya melayang.

Layu bahasa
kuyulah bangsa!

Musnah bahasa
punahlah bangsa!

Lesap bahasa
lenyaplah bangsa!

Gagah bahasa
dahsyatlah bangsa!

Gemilang bahasa
terbilanglah bangsa!

Ridzuan Kamis
Sanggar Kayangan, Perlis.

NOKTAH SEBUAH KEZALIMAN

Hati yang hilang
pertiwi runtuh
maruah berlabuh
disambut sinis kiasan Barat.

Waktu berselang seli menghitung detik
tanah terus hancur
menghimpunkan timbunan pepasir hiba
dalam hati berkaca
benang pinta menyulam pasrah.

Bayu mengkhabarkan seluruh dunia
haruman derita menyelinap dalam nurani manusia
menggoncang mentaliti
menggegar persepsi
jika terdengar dentuman sepi
amanlah kota Ramallah yang suci
lalu menzahirkan akhirat yang abadi.

Arjuna Daksina
Kulaijaya

HUKUM RIMBA

Hukum rimba
tiada adab
tiada adat
tiada budi
tiada akal.

Nescaya musnah
hancur berkecai
makhluk taksub
pelarian mencari rumah.

Atas usaha siapa
kau diusir keluar
pasir bertabur di mata
pisau mencucuk telinga.

Kononnya
menurut adat
menjunjung titah
lestari sumpah
budaya manusia.

Menggeletar mawar ditinggalkan duri
rebah insan tiada berbudi
mati harimau bersembunyi
laksana makhluk lupa diri.

Muhammad Jailani Abu Talib
Kolej Kediaman Ke-11, Universiti Malaya,

KAMARKU

Kamarku oh Tuhan
tidak punya almari
katil dan meja solek
kosong.

Dan aku terkulai baring
di atas lantai ini, sejuk
keras, dingin dan sakit.

Kamarku oh Tuhan
selamanya akan kosong
selagi jendela hati tertutup rapat
tanpa hidayah-Mu yang membuka luas
hingga angin zikir menerjah masuk
cahaya cinta Yang Maha Mencipta
saat itulah kamar terisi padat
dan cinta yang bertaut erat
hangat, mesra penuh kasih
ingin sekali kupeluk tubuh-Mu
dalam qiam, rukuk dan sujudku.

Oh Tuhanku
isilah kekosongan kamar ini
dengan almari ketetapan iman
penuh pakaian akhlak kesopanan
katil yang menenangkan gelora nafsu
dan meja solek buatku berdandan
cermin memantulkan kejujuran.

Akan kuberdiri di muka jendela
pada setiap pagi yang kulalui
menghirup segar udara hidayah-Mu
kala kubuka luas jendela hati
semuanya bermula dari kamarku ini.

Khairil Idham Ismail
Seremban
Januari 25, 2009

APOLOGI KEPADA SEKUNTUM BAHASA

Di sinilah sekuntum harum terpencil
bunga kasih ibunda.

Mereka mewarnakanmu kelabu
dan menamakan kau duri
agar tidak didekati.
Mereka menggantung mentari di tangkaimu
agar embun menjadi takut
dan tunas cintaku terlurut .

Bagaimana aku bisa menjadi srikandi
kalau rerama pun hanya singgah sesekali
dan lekas-lekas pergi
seperti tidak akan ada dunia
selepas senja.

Aku masih menanti
kalau-kalau pawana esok
membawakan musim bunga
- yang tak kunjung tiba.

Bahawa senja ini semakin bisu
bersama sekuntum bahasa yang kian layu.

Nissa' Yusof
Ipoh, Perak

PALESTIN

Palestin ialah suatu nama yang disalah eja
yang menjadikan dunia buta huruf dan buta fakta.

Palestin ialah suatu bangsa yang disalah mengerti
yang menjadikan dunia buta sejarah dan buta hati.

Palestin ialah suatu peta yang disalah cetak
yang menjadikan dunia tidak menentu dan serba salah.

Palestin ialah suatu jalan raya yang disalah bina
yang menjadikan dunia buntu dan sesat jalan.

Palestin ialah lautan darah yang berhempas pulas dalam saraf
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjadikan dunia mabuk dan pendek akal.

Palestin ialah duri dalam daging Arab
yang menjadikan dunia menggelepar dan bangsa itu nanar.

Palestin ialah aspirasi manusia yang wajar difahami dunia
yang dapat merdeka dan lepas bebas sebagai Sungai Nil.

Palestin, Palestin ialah berjuta geram yang dieram
yang menantikan cahaya kebijaksanaan menetaskan kebenaran.

Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin
Palestin

Abdul Ghafar Ibrahim (AGI)
(2008), Takkan Hilang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

TERIMA TANPA KASIH



Terima kasih Israel kerana
menuangkan sengsara di lantai Gaza
membakar hayat dan menanam nafas
tanpa peduli jerit air mata
dan luka derita
anak-anak yang manis dituba
mimpi seni mereka
dengan bedilan dengki dan aksi pura-pura
segalanya harus dikalungkan
buatmu Israel
yang sombong dan hina.

Terima kasih Israel
kerana membiarkan kami sakit hati
dan menyalai marah
di ruang nasib.


Terima kasih Israel
membuatkan kami melupakan tidur
untuk meratib takdir dan memohon rindu.

Terima kasih Israel
di atas hadiah peluru dan kemusnahan
pembunuhan yang tuntas
kepada mereka tanpa dosa.

Terima kasih Israel
kerana mengingatkan kami untuk bersatu
dan memohon restu daripada Tuhan
untuk membalas segala kejahatan kau itu.

SOLIHIN OSMAN
MSU, Shah Alam.

GAMBAR-GAMBAR LUKA DARI GAZA

Gambar-gambar ini adalah
gambar-gambar luka
dari daerah kecil yang penuh duka
siangnya tenat
malamnya melarat
warganya penat
tapi masih penuh semangat
meskipun di tepian waktu
banyak anak kecil tak
berdosa rebah
orang-orang tua bertambah lelah
dan kaum wanita hanya tahu
berpasrah.

Gambar-gambar ini adalah
gambar-gambar luka
dari Gaza yang semakin kaya
dengan air mata
kerana di sini kemanusiaan
sudah selamat dikebumikan
dan tertegak kekejaman.

Warga dunia yang berhati mulia
gambar-gambar ini adalah
gambar-gambar luka
yang tak pernah berbohong
kerana di sini warga duka
tak terdaya mengelak
menjadi mangsa
hanya bersemangat
mahu hidup
mengenali bau syurga
membela tanah air
dan bangsa tercinta.

Gambar-gambar ini adalah
gambar-gambar luka
yang tak pernah kami relakan
untuk tak berbohong
buat tontonan
seluruh dunia
buat selama-lamanya.

PETER AUGUSTINE GOH
Yishun Avenue - 9

LUKA HATI BANGSA

Masa berganjak sejarah bertukar
benarkah bijaksana Melayu nanar?

Menipu berani kurang ajarnya
lemah lembut budi bahasanya
dari adat setia tunduk mengalah
tidak kulihat ikhlas kejujurannya
kasih sayang pada persaudaraannya
watak meninggi merendah dirinya
sanggahi musuh bertikam lidahnya
kulihat hilang hikmah cara berpencak
luka di gelanggang tidak terbebat
luka baru ditetak dalam khianat
merah maruah terpercik membuak.

Hitung berhitung siasah pertiwi
kekalkah Melayu menafsir maknawi?

Tatangi hak asasi digelut kebebasan
ingatkah diri sewaktu di lembah hina
silih berganti para pembina negara
dukungi apakah itu hasrat pengisian
susuni kerangka kukuh setiap siratan
dalam kuat kita lembut berhitung
dalam sopan kita santun berkampung
akrab sesama sendiri teguh jati diri
akrab warga meneguh akal budi
benih sabar subur di bumi sendiri
tumbuh pepohon bakti sejati.

Jika simpang siur tidak diwaspadai
suara pendusta akan membelah bumi
apa pun saja ditolak ke tepi.

Sedikit calar derhaka parah luka hati bangsa
di perjalanan keliru nusa.

A AZIZ DERAMAN
DBP, Johor Bahru
5 Februari 2006

MENCIPTA NAMA BANGSA

Setelah kematian
tak perlu lagi gelaran
diangkat keagungan
biarlah roh aman
menghadap Tuhan.

Kita yang hidup
seharusnya mencipta nama
bangsa berwibawa ternama
menggemilang dunia
peradaban beragama.

Segala yang ada
sewajarnya dipelihara
agama dan bahasa
diletakkan pada hak
di puncak mutlak.

Ingatlah; akal dan hati
agama dan bahasa
waris pusaka
mesti dipertahan
di baris hadapan
maruah kehidupan.

AMI MASRA
USJ 4, Subang Jaya

CERIA YEE WEN 3

Meniti awan-gemawan kehidupan
dia tercari-cari cara melihat rupa hati manusia
di luar, tak kelihatan cahaya
berjuta memperdaya agama dan iman
kerana membeli dunia, membeli manusia
dan dia keliru lagi berhari-hari.

Siang dan malam dipanjati hingga puncak
di tiang hari, dia diganggang sayang
dan di panggung malam, terbiar terlantar
terawang-awang di angkasa hitam
kesunyian.

Diriku yang hadir siang
selalu pula tak dikenalinya dan kubiarkan
suaranya mempersenda
diriku tetap diriku tak kurang apa pun
menjauh, dia dilontari ke alam
penuh kesepian
hingga marahnya bertanda mahu menguasai
diri jadi berteka-teki.

Kusoal bayu yang berpuput
kutanya udara yang disedut paru-parunya
dia kulihat kehilangan kemanisan
kemanusiaan
terawang-awang menimbang
laluan halimunan
untuk menyeberang ke pulau keagamaan
di matanya, selebriti tv berbaris panjang
satu, satu ke muka menjual al-Quran
dengan lidah dua.

Tiap kali soalanku merangkak ke telinga bayu
air matanya tumpah, melihatku yang melihat
objek itu
dan udara yang meresapi berbisik
ke telingaku
dia kesengsaraan diganggang api dunia
dia derita dipanasi kata-kata keluarga
lalu diriku merangkuli sejambak cahaya
menanti di penghujung dunia.

DAENG RAMLIAKIL
14 Disember 2008.

SEDIKIT TENTANG PALESTIN



Semenjak dari dahulu lagi
berita derita Palestin
telah mengguris atma
menjadikan diriku
sendu pilu.

Sekarang ini episod
malang berulang
semakin menghiris perasaan
membuatkan diriku berkata
bilakah negara-negara Liga Arab membantu
bilakah Hamas dan Fatah bersatu
bilakah Perjanjian Damai mendapat restu?


Kerana aku
tak sanggup lagi
menyaksikan rangkaian holokus
menjadi perhatian media seantero

NAZRI MOHD ZAIN
Kuala Terengganu
 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.