Technorati search

12/30/07

PADANG ARAFAH

Ya Quddus! Ya Khaliq!
kulabuhkan bahteraku
dengan sauh iman emas
dengan baju sabar tawakal
setelah menantang pusar laut
menantang pusar angin
menantang pusar ribut
menantang pusar taufan
menepi semua dosa-dosa dari anjungnya
demi suatu perjuangan
kehadiran diri mengunjungi rumah-Mu
pelengkap anak tangga kelima
tanda pengakuan keyakinanku pada-Mu.

Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghoffar!
dalam genggaman keyakinan suci ini
kuhadir di himpunan agung penyatu hati
di suatu titik bernama Padang Arafah
bak saujana ombak putih beralun tenang
kupohon: keringkanlah lautan hitam perilaku hidupku
ringankan timbunan azabku
lahirkan aku sesuci bayi bersayap awan putih
sebelum usiaku dicantas.

Demi jihad ini
kukorbankan cahaya indah kristal dunia
emas tempawan pembalut keangkuhan
mendongak ke langit membusung dada
lambang darjat kebanggaan keturunan
tetapi di sini, iman amal ikhlaslah jadi taruhan.

Dengan satu warna suci
lewat gerak tangkas yang jujur
dengan silat sabar dan ikhlas
dengan bara semangat jihad
daya juang melangit
kutekalkan tangan hajat ini untuk menggamitnya
kerana yang berkain sabar bersejadah takwa
menjadi neraca pembenar
sebagai pemenang piala-Nya.

MAHARANI N SENTANI
Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara 2007| disediakan Oleh Tinta Keris diubahsuai dan direka oleh Keris Putera.
Tiada bahagian yang boleh disalin semula tanpa kebenaran bertulis.